Selamat datang

Selamat datang ke laman ini. Laman ini menyediakan peluang kepada anda untuk mendapatkan bahan-bahan yang anda perlukan untuk keperluan public speaking dan sebagainya.
Sebarang pertanyaan, emel saya di asri_panthera@yahoo.com

Sunday, October 24, 2010

Kesantunan Lambang Keperibadian Bangsa

Kesantunan Lambang Keperibadian Bangsa

Sesungguhnya sopan santun dan nilai-nilai murni adalah adunan hidup yang tidak harus dilemahkan oleh cara hidup moden. Seperti kata pepatah: Seperti padi, lagi runduk, lagi berisi.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang saya hormati, barisan panel hakim yang arif, penjaga masa, seterusnya sidang hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam perpaduan.

“Kesantunan Lambang Keperibadian Bangsa”, demikianlah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari yang berbahagia ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan DBP Kuala Lumpur, 2005:

Kesantunan: perihal kesopanan

Lambang: tanda yang menyatakan

Keperibadian: perihal sifat seseorang

Bangsa: kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan

Jika dirangkumkan, tajuk ini dapat dijelaskan sebagai perihal sifat sesuatu kumpulan manusia dalam suatu ikatan negara adalah bergantung kepada perihal kesopanan dan kelembutan warga itu sendiri.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Menjadikan sesuatu perkara sebagai keperibadian bangsa bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng, tetapi memerlukan usaha secara menyeluruh dan berterusan. Begitu juga andaikata jika ingin menjadikan kesantunan lambang keperibadian bangsa.

Langkah utama untuk memperkasakan kesantunan ialah melalui kempen secara berterusan dan bersepadu oleh pihak kerajaan. Dengan adanya kempen yang memantapkan kesantunan warga, budi bahasa dan nilai-nilai murni dapat disemai dengan mudah ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen sebegini dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Umpamanya, kerajaan telah melancarkan dengan gilang-gemilang kempen Budi Bahasa Budaya Kita dan Nilai-nilai Murni pada awal tahun 2005 agar dapat melahirkan insan yang mempunyai kesantunan yang ampuh. Dengan ini, bangsa kita akan dipandang tinggi lantaran mempunyai kesantunan yang terpuji dan sentiasa menitikberatkan budi bahasa dalam amalan seharian.

Hadirin hadirat yang dihormati,

Langkah kedua yang perlu diambil oleh pihak kerajaan ialah mempraktikkan amalan budi bahasa dalam pekerjaan seharian.

Ada pepatah yang menyatakan, ‘kepimpinan yang baik adalah melalui teladan’. Andaikata kerajaan ingin membentuk budaya kesantunan dalam diri rakyat, terlebih dahulu pihak-pihak kerajaan perlu mengamalkan budaya yang dikehendaki walau di mana mereka berada. Dengan ini, rakyat akan terikut-ikut dengan budaya kesantunan yang baik ini. Sebagai contoh, anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan seperti polis dan imigresen perlu memberi perkhidmatan dengan penuh beradab melalui tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa ingin membantu. Kesannya, rakyat akan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan pihak kerajaan dan sekaligus akan menyokong apa sahaja yang disarankan oleh pihak kerajaan umpamanya pengamalan budi bahasa ini. Akhirnya, akan lahirlah masyarakat yang santun tatacara hidupnya dan akan mencantikkan peribadi bangsa itu sendiri.

Sidang dewan yang dihormati.

Ketiga: Kesedaran masyarakat untuk menjadi warganegara yang cintakan bangsa.

Dalam ucapan aluan Y.B. Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan di Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa Dan Nilai-Nilai Murni pada 11 Januari 2005, beliau menyatakan matlamat utama pelaksanaan kempen yang dilaksanakan ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang berpekerti mulia dan sebagai pengisian Prinsip Kelima Rukunegara, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Sekiranya kita masyarakat Malaysia yang memenuhi ikrar dan janji seperti yang termaktub dalam Rukunegara, kita akan juga sentiasa mengambil berat akan kepentingan bersopan dan bertatasusila dalam kehidupan seharian. Dengan adanya masyarakat sebegini, hasrat kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang maju menjelang tahun 2020 yang dapat mempamerkan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan berasaskan budi bahasa akan tercapai. Justeru, nama bangsa Malaysia akan dipandang baik oleh seluruh dunia lantaran kemantapan dalam kesantunan peribadi yang dipraktikkan.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Keempat: pendidikan awal oleh keluarga di rumah.

Amalan kesantunan dan berbudi bahasa merupakan suatu elemen yang perlu dididik dan diasah bermula dari usia bayi lagi. Andaikata ibu bapa berpekerti baik, maka anak-anak yang dilahirkan akan mewarisi pekertinya. Harus diingat, pada masa yang sama pendidikan secara berterusan mengenai amalan berbudi bahasa perlu diutamakan agar usaha untuk membentuk amalan ini akan terlaksana. Sekiranya pendidikan di rumah mengenai kesantunan ini gagal atau kurang ampuh, tidak hairanlah wujudnya generasi yang tidak berpegang kepada budaya bangsa sendiri. Lihat saja anak-anak muda yang menjadi ‘sekerat ular, sekerat belut’ dewasa ini. Sebagai contoh, bangsanya Melayu, tetapi tutur katanya acap kali dicampuradukkan dengan bahasa asing. Jika ini terus berlaku, peribadi bangsa itu sendiri akan semakin rapuh. Justeru, keluarga perlu memainkan peranan dalam mendidik mengenai kesantunan ini bermula dari rumah agar sopan santun bangsa boleh dibanggakan di mata dunia.

Hadirin hadirat yang dihormati,

Jelaslah di sini betapa kesantunan itu merupakan suatu aspek yang perlu menjadi fokus utama dalam sesebuah negara. Hal ini lantaran kesantunan itu sendiri sebenarnya adalah menjadi gambaran sesuatu bangsa dan masyarakat sesebuah negara itu. Semua pihak perlu mengambil inisiatif agar kesepaduan dalam mencari kesantunan itu dicapai dan keperibadian bangsa akan dipandang tinggi.

Sekian terima kasih.

Nota: Teks ini telah saya siapkan dan gunakan untuk Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah 2007

1 comment:

  1. Paddy Power Casino & Hotel - Mapyro
    Place your 제주 출장샵 bet on Paddy Power 군산 출장마사지 Casino & Hotel in 계룡 출장마사지 Ponte Vedra, New Jersey. We have a variety of casino games including 부산광역 출장안마 slot machines, blackjack 남원 출장안마 and poker. Rating: 4.4 · ‎9 reviews

    ReplyDelete