Selamat datang

Selamat datang ke laman ini. Laman ini menyediakan peluang kepada anda untuk mendapatkan bahan-bahan yang anda perlukan untuk keperluan public speaking dan sebagainya.
Sebarang pertanyaan, emel saya di asri_panthera@yahoo.com

Sunday, October 24, 2010

Peranan keluarga dalam pembentukan amalan berbudi bahasa

Peranan keluarga dalam pembentukan amalan berbudi bahasa.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang saya hormati, barisan panel hakim yang arif, penjaga masa, seterusnya sidang hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam perpaduan.

“Peranan keluarga dalam pembentukan amalan berbudi bahasa”, demikianlah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari yang berbahagia ini.

Lima peranan keluarga yang akan saya utarakan pada hari ini, iaitu:

  1. 1. Memberi pendidikan kepada ahl keluarga
  2. 2. Mengaplikasikan nilai murni
  3. 3. Menjadi contoh yang baik
  4. 4. Menegur secara berhemah
  5. 5. Memerhatikan perlakuan harian

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan DBP Kuala Lumpur, 2005:

Jika dirangkumkan, tajuk ini dapat dijelaskan sebagai tugas individu yang saling berkait keturunan dalam proses membentuk kebiasaan bersopan dan baik antara satu sama lain.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Pertama: Memberi pendidikan sewajarnya kepada ahli keluarga

Amalan berbudi bahasa merupakan suatu elemen yang perlu dididik dan diasah bermula dari usia bayi lagi. Andaikata ibu bapa berpekerti baik, maka anak-anak yang dilahirkan akan mewarisi pekertinya, dengan syarat pendidikan pekerti perlu dilaksanakan secara berterusan. Istilah pantang larang umpamanya secara tidak langsung memberi pendidikan kepada anak-anak. Berdasarkan kajian tamadun manusia, pantang-larang adalah garis panduan yang menjadi amalan masyarakat terdahulu dalam mendidik anak-anak untuk memelihara tingkah-laku. Di sini jelas menampakkan betapa pendidikan di rumah akan memberi kesan kepada pembentukan amalan berbudi bahasa.

Sidang dewan yang dihormati,

Kedua: Menerapkan dan mengaplikasikan nilai-nilai murni

Sekiranya ahli keluarga tidak berusaha untuk mengamalkan pekerti yang baik semasa pergaulan di rumah, pastinya mereka tidak akan berjaya untuk menjadi individu yang berbudi bahasa di luar rumah. Lihat saja kes rogol yang semakin meningkat dari sehari ke sehari. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia seperti yang dipaparkan dalam Harian Metro Disember 2006, dalam tempoh Januari hingga September 2006, kes rogol telah meningkat 449 kes berbanding tahun sebelumnya. Justeru, setiap ahli keluarga perlu mengamalkan pekerti yang mulia bermula dari rumah agar amalan berbudi bahasa dapat dibina dengan jayanya.

Hadirin hadirat yang dimuliakan,

Ketiga: Menjadi contoh dan teladan yang baik

Untuk membentuk amalan berbudi bahasa, pemimpin keluarga perlu menyemai amalan ini terlebih dahulu dalam dirinya sebagai acuan ahli keluarga yang lain. Jika kita tidak berbudi bahasa, janganlah mengharapkan anak-anak buah kita untuk berbudi bahasa. Sering kita mendengar kes penderaan dewasa ini. Menurut Jabatan Kebajikan Malaysia kes penderaan kanak-kanak terus meningkat dari tahun 2001 hingga 2004. Sekiranya jenayah sudah bermula di rumah, pincanglah hasrat untuk membentuk amalan berbudi bahasa di kalangan warga. Justeru ketua sesebuah keluarga perlu menjadi teladan yang baik kepadaahli keluarganya untuk menjadikan amalan budi bahasa amalan seharian.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Keempat: Menegur secara berhemah perlakuan ahli keluarga yang kurang sopan

Untuk menyemai budaya kesantunan, tingkahlaku kurang sopan perlu diperbetulkan melalui teguran yang berhemah. Contohnya, ibu bapa perlu menggunakan teknik teguran yang betul agar anak-anak tidak tersinggung walaupun ibu bapa mempunyai autoriti terhadap anak-anaknya. Kesilapan semasa teguran pasti mengundang padah. Umpamanya, kegusaran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan peningkatan 8 kes lari dari rumah saban tahun. Justeru, dalam mendidik ahli keluarga melalui teguran, pendekatan perlu diutamakan agar amalan berbudi bahasa akan terlaksana.

Sidang dewan yang berbahagia,

Kelima: Memerhatikan perlakuan dan tatacara seharian ahli keluarga secara berterusan

Selain mendidik, keluarga juga harus menjadi pemerhati yang baik terhadap tatasusila ahli keluarga. Secara logik akal, seseorang individu akan melakukan sesuatu yang terbaik jika diperhatikan oleh orang yang disayanginya begitu juga dengan amalan budi bahasa. Ahli keluarga perlu dipantau tatacara sehariannya oleh pemimpin keluarga misalnya agar amalan budi bhaasa dipraktikkan sentiasa. Pada masa yang sama, cabaran untuk mewujudkan masyarakat penyayang menjelang 2020 akan tercapai. Justeru, keluarga perlu mempunyai acuan budi bahasa dari ketuanya agar amalan budi bahasa dapat dibentuk.

Sidang hadirin sekalian,

Justeru, dapat kita lihat betapa keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk membentuk amalan berbudi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini. Jika amalan ini gagal dibentuk di rumah, pastinya matlamat yang disasarkan untuk mencapai cabaran-cabaran Wawasan 2020 tidak akan tercapai.

Sekian, terima kasih.

Nota: Teks pidato ini telah disediakan dan disiapkan oleh saya untuk persediaan Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah 2007

6 comments: